Shah Alam, 25 November 2024 – Dewan Annex menjadi lokasi bersejarah bagi pelancaran Kempen 16 Hari Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak, yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.

Kempen ini merupakan sebahagian daripada gerakan antarabangsa 16 Hari Aktivisme Terhadap Keganasan Berasaskan Gender, yang berlangsung setiap tahun dari 25 November hingga 10 Disember, bertujuan meningkatkan kesedaran dan tindakan global dalam membendung keganasan berasaskan gender.

Dengan tema tahun ini, “Bersatu! Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak”, Negeri Selangor menyeru masyarakat untuk berganding bahu memerangi ancaman keganasan yang terus menjejaskan kesejahteraan golongan wanita dan kanak-kanak.

Pelbagai program menarik telah dirancang sepanjang kempen ini, termasuk:

  • Pertandingan Karikatur dan Video Pendek – Penyertaan dibuka dari 1 hingga 30 November 2024.
  • Kempen Jinggakan Selangor – Rakyat digalakkan memakai pakaian jingga dan memuat naik OOTD ke media sosial pada 25 November 2024.
  • Persembahan Teater “Disebalik Tirai” – Bertempat di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Selangor (29 November 2024).
  • Interaktif Talk “Jangan Jadi Mangsa Keganasan” – Sesi dialog di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (29 November 2024).
  • Majlis Penutup Kempen – Termasuk pementasan teater di Dewan Auditorium (10 Disember 2024).
  • Dahlia’s Women Empowerment Program – Bertempat di UiTM Puncak Alam (8 November hingga 15 Disember 2024).
  • Edaran risalah kesedaran – Melibatkan 56 Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh DUN Selangor.

Kempen ini bukan sekadar aktivisme, tetapi panggilan untuk bertindak bagi menghentikan keganasan berasaskan gender. Semua pihak dijemput untuk menyertai program ini dan bersama membina masa depan yang lebih selamat dan harmoni.