Pada 19 Oktober 2024, peserta terpilih yang telah melepasi saringan temuduga menghadiri Bengkel Siri 1 Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2024 di Shah Alam Convention Centre (SACC). Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Maria Chin Abdullah, mantan Ahli Parlimen Petaling Jaya, yang bertujuan untuk memperkenalkan peserta kepada proses pembuatan dasar serta kepentingan memahami isu-isu dasar menerusi lensa gender. Peserta didedahkan kepada analisis dan tindakan yang mesti berlandaskan data, fakta, dan keperluan masyarakat dalam proses pembuatan dasar dan undang-undang.

Selain itu, peserta diberikan tugasan kajian kes secara berkumpulan, di mana mereka perlu membentangkan cadangan dasar yang berkaitan dengan konsep Malaysia Madani. Antara topik kajian kes yang dibincangkan termasuklah peruntukan untuk Ahli Parlimen, isu stokin dengan jahitan kalimah Allah, kontroversi Black Rock, remaja dan PTPTN, serta wanita dan K-Ekonomi. Peserta menunjukkan komitmen yang tinggi, melontarkan pandangan bernas, bertanyakan pelbagai soalan, serta bekerjasama melaksanakan tugasan yang diberikan.

Program ini selari dengan Matlamat ke-4 Dasar Wanita Selangor, iaitu “Mempercepatkan Kepimpinan Wanita”, dengan harapan lebih ramai wanita akan terlibat dalam kepimpinan politik dan lebih peka terhadap isu-isu semasa. Penglibatan wanita dalam penggubalan dasar dan undang-undang mesra wanita serta keluarga diyakini akan membawa impak yang besar di peringkat komuniti, negeri, dan nasional.

Orang ramai digalakkan untuk mengikuti perkembangan program WBS yang akan datang dengan mengikuti akaun media sosial rasmi untuk mendapatkan maklumat lanjut.