Masjid Sultan Abdul Samad (Masjid KLIA), 7 Mac 2026 – Bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2026 dan keberkatan bulan Ramadan, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Wanita Negeri Selangor di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, Sepang.

Program ini menghimpunkan 1,000 wanita dari seluruh Selangor bagi menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran secara berjemaah, sekali gus menjadi simbol kesatuan, penghayatan nilai Islam serta pengukuhan ukhuwah dalam kalangan wanita.

Majlis diserikan dengan keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang berkenan merasmikan program tersebut. Majlis ini turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, yang berkenan mencemar duli bagi merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Wanita Negeri Selangor.

Turut hadir ialah Yang Amat Berbahagia Datin Seri Masdiana Muhamad, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan & Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS); Yang Berhormat Datuk Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Datin Rozana Kasbon, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Selangor; Datin Syarmila Yahaya, Pengerusi Persatuan Suri & Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA); serta Puan Siti Faridah Abdul Samad, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor.

Program dimulakan dengan bacaan Al-Quran secara berjemaah, diikuti tazkirah “Ramadan dan Al-Quran: Madrasah Pembinaan Jiwa” oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar (JAKIM), sebelum diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustazah Nor Ruzana Natilah Jaafar serta persembahan marhaban.

Dalam majlis yang sama, Yayasan Menteri Besar Selangor (MBI) turut menyerahkan sumbangan cek cura RM100,000 kepada WBS bagi membantu golongan ibu tunggal.

#WanitaBerdayaSelangor #KitaSelangor #IniSelangor #NuzulQuran #KhatamAlQuran