Johor, 26 Januari 2026 – Program Lawatan Sambil Belajar Kohort Kelima Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) telah diadakan ke Kerajaan Negeri Johor pada 26 Januari 2026. Program ini dianjurkan sebagai platform pendedahan, pembelajaran dan perkongsian amalan terbaik dalam aspek tadbir urus, kepimpinan serta pengurusan organisasi, khususnya di peringkat kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
Lawatan ini telah diketuai oleh Yang Berusaha Puan Siti Faridah binti Abdul Samad, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), bersama Yang Berusaha Puan Norazilawati binti Md Azizi, Penolong Pengarah Seksyen Sektoral UPEN, serta barisan pengurusan Wanita Berdaya Selangor.
Sepanjang program, para peserta telah dibahagikan kepada lima (5) kumpulan bagi melancarkan sesi lawatan, perbincangan dan interaksi, sekali gus memastikan penglibatan yang lebih fokus dan berkesan di setiap lokasi.
Lawatan ini merangkumi beberapa lokasi utama, iaitu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang melibatkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Bahagian Khidmat Pengurusan, dan Bahagian Sumber Manusia, SUK Johor. Selain itu, lawatan turut diadakan ke Majlis Bandaraya Iskandar Puteri serta Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.
Diharapkan lawatan sambil belajar ini dapat memperkukuh pengetahuan peserta, memperluas jaringan kerjasama strategik antara negeri serta menjadi input bernilai dalam melahirkan barisan pemimpin wanita yang berwibawa, berdaya saing dan berimpak tinggi.
#WanitaBerdayaSelangor #KitaSelangor #IniSelangor #AkademiKepimpinanWanita #Lawatan













