Pusat Konvensyen MPAJ, 27 September 2026 – Program Usahanita Digital 2026 secara rasminya telah melabuhkan tirai. Wanita Berdaya Selangor (WBS) mengucapkan syabas kepada 5 usahawan terbaik yang berjaya merangkul kedudukan Top 5, di mana gelaran iKon Usahanita Digital 2026 telah disandang oleh Sarini binti Zainal Abidin dari syarikat Pestels Group Sdn Bhd. Setinggi-tinggi junjung kasih dan penghargaan daripada WBS di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mencemar duli menganugerahkan hadiah utama kepada iKon Usahanita Digital 2026. Keperihatinan dan sokongan DYMM Tuanku amat besar ertinya dalam memartabatkan agenda pemerkasaan usahawan wanita.

Tempat kedua hingga kelima pula disandang oleh Nor Izzati binti Nordin dari Suci Solutions Enterprise, Nur Hanis binti Abd Rohin dari Haq Integrated Ventures Sdn Bhd, Jasmine binti Kuswadi dari Man & Min Enterprise, serta Noryuhanis binti Che M Nasir dari Tron Management Sdn Bhd.

Penghargaan yang tidak terhingga ditujukan kepada semua rakan kerjasama strategik kami iaitu Yayasan Hijrah Selangor, MATRADE, CGC, dan SME Corp atas komitmen serta kerjasama yang sangat padu sepanjang program ini berlangsung. Tidak dilupakan juga, panel juri dan penceramah yang telah memberikan penilaian serta ilmu yang amat bernilai, seluruh sekretariat yang bekerja keras di balik tabir, serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Semoga segala usaha dan iltizam ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan wanita di Malaysia, dan sehingga kita bertemu lagi di penganjuran Usahanita Digital pada tahun hadapan!

#UsahanitaDigital2026 #UsahanitaDigital #PendigitalanPerniagaan #UsahawanWanita #HijrahSelangor #MATRADE #CGC #SMECorp #Selangor