Bilik MTES, SUK Selangor, 13 Mac 2026 – Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat (RTD) Siri 1 yang menghimpunkan wakil agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, ahli akademik dan pakar bidang, badan pemikir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil komuniti setempat bagi membincangkan isu hamil luar nikah dan anak tidak sah taraf dari perspektif dasar serta pelaksanaan prosedur Mahkamah Syariah.

Sesi ini telah dipengerusikan oleh YB Puan Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat. Turut hadir ialah YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah, EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi.

Perbincangan ini memberi ruang kepada pemegang taruh untuk berkongsi pandangan, pengalaman pelaksanaan serta cabaran semasa dalam pengurusan kes melibatkan wanita dan kanak-kanak. Antara perkara yang dibincangkan termasuk keperluan memperkukuh pendekatan perlindungan dan intervensi berbanding pendekatan hukuman semata-mata, penambahbaikan proses pendaftaran perkahwinan dan status anak, serta pengukuhan penyelarasan data dan prosedur antara agensi berkaitan.

RTD ini turut menekankan kepentingan sistem sokongan yang lebih komprehensif merangkumi intervensi psikososial, kerjasama rentas agensi serta usaha pendidikan dan kesedaran bagi menangani isu ini secara lebih bersepadu dan berkesan. RTD ini merupakan sebahagian dari Gender Outlook Forum 2026 yang akan diadakan pada September 2026 akan datang. Stay tuned for more info!

#WanitaBerdayaSelangor #GenderOutlookForum2026 #KitaSelangor #IniSelangor