Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Program Pembangunan Ekonomi Wanita (DEW) telah diadakan pada 29 Ogos 2024, di Foyer SUK, Shah Alam. Majlis ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS), dengan kerjasama Khadijah International Waqf Foundation (KIWF).

Perjanjian ini dimeterai bagi memperkukuhkan kerjasama antara WBS dan KIWF untuk memilih 10 produk terbaik daripada Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh Selangor. Usahawan terpilih akan menerima bimbingan mentor dalam aspek mutu produk, harga, dan strategi pemasaran. Majlis disempurnakan oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, serta turut dihadiri oleh beberapa tokoh seperti YB Puan Wong Siew Ki, Puan Rawiyiah binti Zakaria (Pengarah WBS), Puan Hajah Rohani binti Datuk Mohd Shahir (Pengerusi KIWF), dan Puan Hajah Mazlina binti Saidi (Ketua Pegawai Eksekutif KIWF).

Pada majlis tersebut, lima orang mentor telah menerima watikah pelantikan, termasuk Datuk Dr. Harlina Halizah Hj Siraj dan Prof Sr. Dr. Wan Maimun Wan Abdullah. Majlis turut disaksikan oleh wakil daripada institusi perbankan yang menyokong program ini melalui suntikan dana. Antara bank yang terlibat ialah Bank Islam, CIMB Islamic, dan Hong Leong Islamic Bank.

Program DEW ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Selangor untuk memartabatkan ekonomi wanita, selaras dengan Matlamat Kedua Dasar Wanita Selangor 2024-2026, iaitu meningkatkan sosioekonomi dan autonomi wanita yang terpinggir.